Impian Sukar COP21

Summary

Sidang Kemuncak Iklim 2015 (COP21) yang diadakan di Paris, Perancis berlangsung hangat. Namun, tidak pasti berapa ramai yang merasainya di Malaysia.

Ini bukanlah persidangan pertama berkaitan iklim. Ia telah berlangsung sejak sekian lama. Setiap kali menjelang persidangan, pemimpin pelbagai negara akan membuat pengumuman tentang komitmen yang bakal diberikan.

Sebagaimana persidangan terdahulu, salah satu isu utama yang dibincangkan oleh perwakilan ialah had suhu yang ingin dicapai.

Hal yang kedua adalah jumlah peruntukan kewangan yang perlu diberikan negara-negara maju kepada negara-negara membangun dan miskin yang berdepan risiko terburuk jika perubahan iklim berlaku – ditenggelami air laut atau bencana alam lain.

Setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon menganggap persetujuan di Paris sebagai sebuah peristiwa bersejarah.

Sasaran jangka masa panjang yang dinyatakan ialah memastikan pemanasan iklim berada di bawah 2 darjah Celcius (3.6 Fahrenheit) dan berusaha memastikan had kenaikan suhu hanya setakat 1.5 darjah Celcius (2.7 Fahrenheit).

Perjanjian tersebut menyatakan, selepas tahun 2050, pembebasan karbon berpunca daripada aktiviti manusia (antropogenik) mestilah dikurangkan ke tahap di mana ia boleh diserap oleh hutan dan lautan.

Bagi tujuan ini, setiap negara mesti bersetuju untuk meletakkan sasaran nasional bagi mengurangkan pembebasan karbon setiap lima tahun.