Kenyataan Bersama Badan Pemikir Menyeru Kepada Strategi Yang Jelas dan Berkoordinasi Demi Membantu Mengekang Wabak

2 Jun 2021, Kuala Lumpur: Kami mengalu-alukan usaha mempercepat vaksinasi oleh pihak kerajaan, tetapi memerlukan satu strategi yang lebih jelas daripada kepimpinan negara di kala Malaysia akan mengharungi satu lagi perintah sekatan pergerakan. Defisit kepercayaan rakyat yang semakin meningkat terhadap pengurusan wabak menjurus ke arah ancaman terhadap kestabilan, satu situasi yang memberikan petanda tidak baik kepada masa hadapan ekonomi negara ini. Sistem penjagaan kesihatan awam berada pada tahap kritikal dengan peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan, serta petugas barisan hadapan yang menanggung beban kerja berlebihan menghampiri kepenatan melampau. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bercanggah dan separuh masak sepanjang setahun yang lalu menyebabkan krisis ini berpanjangan dan bertambah teruk. Sebahagian daripada rakyat melanggar tatacara pengendalian piawai (SOP), meletakkan nyawa orang lain dalam risiko – sebahagiannya berpunca daripada mesej yang mengelirukan serta bercanggah daripada para pemimpin. Kedua-dua pihak, iaitu rakyat dan pemimpin, mulai sekarang harus melakukan dengan lebih baik demi kemandirian dan masa hadapan negara.